Islam merupakan agama samawi yang lengkap meliputi segala aspek dalam pelbagai samada dari aspek kerohanian, kebendaan dan jasmani. Islam bukan sahaja merupakan akidah semata-mata tetapi ia juga meliputi peraturan mengenai politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Rasulullah saw sendiri melaksanakan pemerintahan di Madinah Al-Munawwarah yang meliputi aspek-aspek ekonomi seperti mengadakan pasar muamalat secara Islam. Dari sini ekonomi Islam telah berkembang berdasarkan syariat Islam bagi membentuk peradaban dunia yang beretika dan berakhlak tinggi. Islam menyediakan sebuah sistem ekonomi yang sempurna di dalam mempergunakan sumber-sumber yang dikurniakan oleh Allah bagi memenuhi keperluan-keperluan yang dikehendaki oleh semua manusia, serta menyediakan keadaan-keadaan yang dapat menjadikan kehidupan ini lebih selesa. Islam menganggap kekayaan sebagai satu amanah dari Allah dan mestilah digunakan dengan baik kerana ia adalah satu ujian akidah dan pemilikan manusia hanya sebagai pemegang amanah, yang diamanah dengan tujuan mencapai objektif-objektif Allah. Dua objektif yang terpenting ialah kesejahteraan manusia sejagat dan keadilan sosioekonomi.
Ekonomi Islam
Kedatangan Islam sejak 14 kurun yang lalu telah membawa asas-asas dan panduan yang lengkap bagi membentuk dan melaksanakan ekonomi Islam walaupun nas-nas al-Quran mengenainya adalah secara umum kecuali nas-nas mengenai harta pusaka yang diturunkan secara detail dan lengkap. Ekonomi ini telah dilaksanakan pada pemerintahan baginda Rasulullah, pemerintahan para khulafa’ al-Rasyidin dan pemerintahan selepas itu. Maksud ekonomi Islam ialah pembinaan etika pengurusan ekonomi yang bertepatan dengan syarak dan asas-asas ekonomi.
Dari segi istilah ekonomi Islam terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:
Pertama : Asas-asas tetap yang dikenali sebagai ‘ideologi’ yang merupakan asas-asas yang telah dijelaskan dalam al-Quran yang sewajibnya manusia patuhi. Ia merupakan perkara yang tetap dan tidak akan berubah walaupun dengan perubahan masa, keadaan dan tempat.
Kedua : Asas-asas yang berubah yang dikenali ‘sistem pengurusan’. Prinsip ini berdasarkan etika pengurusan ekonomi dan peraturannya. Ia merupakan pola-pola yang yang boleh berubah mengikut situasi keadaan, masa dan tempat serta keperluan masyarakat dan negara. Perkara ini adalah berkaitan dengan cara perlaksanaan, pengurusan bagi membina ekonomi Islam dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat yang sentiasa berubah.
No comments:
Post a Comment