MUQADDIMAH
Arus perubahan yang sedang berlaku pada hari ini merupakan satu perkembangan yang begitu mencabar dunia Islam dan juga gerakan Islam. Dalam menghadapi abad baru yang amat tidak pasti bagi Islam, para pendokong gerakan Islam mestilah segara membuat pemeriksaan atau muhasabah terhadap diri dan gerakan mereka. Iaitu untuk menilai kekuatan dan kelemahan untuk bersedia memahami cabaran yang dihadapi dan merangka strategi yang sewajarnya ke arah mencapai peluang yang tersedia. Untuk menghadapi cabaran abad baru ini, tidak cukup sekadar bergantung kepada kekuatan semangat semata-mata. Pembinaan kekuatan gerakan perlu disalurkan di dalam setiap bidang sehingga akhirnya mampu untuk meletakkan gerakan Islam dan Islam itu sendiri berada dalam arus perdana kehidupan dan sebenarnya mencorakkan kehidupan dunia kepada landasan yang sewajarnya.
MENILAI KELEMAHAN DAN MENINGKATKAN KEUPAYAAN
Terdapat beberapa aspek penilaian yang perlu kita fahami sebagai langkah permulaan ke arah pembinaan kekuatan masa depan kita. Pertama, gerakan Islam perlu menyedarkan masyarakat Islam untuk keluar daripada kongkongan ekstrimisme yang telah lama membelenggu umat. Kongkongan suasana ekstrim yang wujud ini bukanlah sebenarnya pilihan kita secara sedar, tetapi merupakan suatu yang dipaksakan dan kesannya telah melemahkan dan membekukan umat Islam. Masyarakat Islam dipesongkan daripada ajaran sebenar Islam yang menghendaki mereka benar-benar memahami dan menguasai dunia ini dan mengarahkannya kepada landasan yang sewajarnya. Berdasarkan kepada pembahagian disiplin yang dipaksakan kepada mereka lahirlah dua golongan ekstrim yang menguasai agama dan mereka yang memahami aspek tertentu dunia. Fahaman Islam menjelaskan prinsip asas bahawa manusia dicipta, ditentukan dan diberikan petunjuk (Huda). Petunjuk yang merupakan kehendak atau ilmu Allah SWT adalah penting untuk manusia menguasai kehidupan dunia dan memanfaatkannya untuk kehidupan akhirat. Ilmu Allah kepada manusia tergolong kepada dua iaitu yang bersifat Quraniyyah (Wahyu) dan Qawniyyah (ilmu yang menguasai kewujudan dan kekuatan alam). Manusia perlu memahami kedua-dua cabang ilmu Allah tersebut untuk mempastikan mereka dapat wujud dengan lebih bermakna. Kefahaman ini amat penting untuk merintis penguasaan terhadap kehidupan ekonomi.
Kedua, kelemahan yang ketara terutama dalam urusan ekonomi disebabkan kelemahan organisasi dan pengurusan. Kita biasanya terlalu bersifat idealisme dan hanya berharap kepada kejayaan kerana merasakan niat kita baik dan berharap kepada pertolongan Allah SWT dan tidak berusaha dan merancang untuk mendapat pertolongan Allah selaras dengan prinsip yang dinyatakan bermaksud; “Sesungguhnya manusia tidak akan memperolehi sesuatu melainkan yang diusahakannya.” (Q53:39). Dalam urusan ekonomi, kalaupun kita melaksanakannya berlandaskan prinsip muamalat Islam ia mestilah dirancangkan dan disusun dengan sistem yang bukan sahaja akan menjamin kejayaan tetapi lebih utama akan turut mempertingkatkan kualiti individu yang terlibat dalam urusan tersebut. Sebenarnya peranan daripada prinsip dan nilai-nilai Islam bukanlah hanya untuk membimbing manusia dalam melakukan sesuatu urusan tetapi yang lebih utama bertindak sebagai saluran untuk mereka memurnikan diri dan mempertingkatkan keimanan.
Ketiga, hasil daripada kegagalan untuk merancang dan menyusun organisasi dan pengurusan yang sempurna menyebabkan umat Islam tidak mampu melakukan urusannya pada tahap yang terbaik (bersifat ihsan). Hal ini adalah bertentangan dengan semangat nilai Islam yang ingin manusia supaya melakukan sesuatu dengan yang terbaik (ihsan) yang dapat menjamin keadilan dan kesejahteraan hidup. Keperluan kepada ihsan ini penting bagi setiap urusan yang kita lakukan selaras dengan hadis yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah SWT berkehendakkan kepada ihsan (kecekapan) dalam setiap perkara. Sekiranya kamu membunuh maka bunuhlah dengan sempurna dan jikalau kamu menyembelih maka sembelihan tersebut tidak merasa kesakitan sembelihan tersebut”. (Riwayat Muslim).
Pengajaran daripada hadis tersebut menjelaskan kepada kecekapan yang diukur daripada kesan terhadap apa yang kita lakukan. Dalam urusan ekonomi misalnya tidak wajar timbul sungutan orang tentang beban atau kesakitan yang terpaksa ditanggung sebagai kesan daripada interaksi yang berlaku. Keperluan kepada ihsan tidak sahaja terbatas kepada melahirkan keinginan dan keazaman melaksanakan sesuatu urusan selaras dengan kehendak Islam tetapi lebih utama mempastikan cara dan kaedah serta sistem pelaksanaannya adalah yang terbaik. Berikutnya penilaian keberkesanan dan tindakan untuk perbaikkan perlu diberikan lebih keutamaan.
Keempat, sebagaimana yang dijelaskan al-Quran manusia dicipta oleh Allah SWT daripada dua komponen iaitu jasad (benda) dan roh. Secara logik manusia yang terdiri daripada gabungan benda (jasad) dan roh ingin kepada keperluan yang bersifat benda roh (spiritual). Pengaruh daripada fahaman Barat yang membataskan manusia sebagai makhluk material melahirkan kefahaman segolongan masyarakat bahawa seolah-olah terdapat pengasingan antara keperluan material dan spiritual manusia. Hakikat sebenar manusia kepada Islam ialah tidak mungkin dapat kita pisahkan antara jasad dan ruh selagi manusia kekal sebagai insan. Dengan itu tidak wajar untuk difahami bahawa kehidupan kita boleh dipisahkan ada bahagian dunia dan ada bahagian akhirat. Apa yang jelas prinsip kewujudan manusia ialah kita dikehendaki untuk mempastikan bahawa segala usaha untuk memenuhi keperluan dunia mestilah pada masa yang sama memenuhi keperluan spiritual. Kita perlu sedar kepada prinsip asas Islam “Daripada Allah kita datang dan kepada Allah SWT kita akan kembali.” Oleh itu kita perlu pastikan kita sepenuhnya bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan.
Dalam konteks kehidupan bersifat ekonomi masyarakat Islam perlu menguasai dunia ini dalam setiap kegiatan dan pada masa yang sama menukar perjalanan dunia menurut landasan yang dikehendaki untuk memenuhi keperluan kehidupan akhirat (memenuhi keperluan spiritual). Dalam hubungan ini amat wajar untuk kita melihat dan memahami hasrat sebenar ucapan Saidina Umar yang bermaksud; “Berusahalah bersungguh-sungguh seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beramallah seolah-olah kamu akan mati esok hari.” Rangkap pertama ucapan ini adalah tidak selaras dengan hakikat sebenar kehidupan manusia di mana tiada siapa yang akan kekal hidupnya di alam ini. Tetapi yang pasti ialah setiap orang akan mati. Oleh itu kesedaran kita yang wajar ialah untuk menghadapi keperluan rangkap kedua ucapan tersebut dan usaha yang bersungguh-sungguh yang perlu kita laksanakan mengikut tuntutan rangkap pertama ucapan sepenuhnya diarahkan untuk memenuhi keperluan tuntutan rangkap yang kedua ucapan tersebut.
Kelima, perlu juga untuk kita fahami sifat kita yang dijelaskan oleh al-Quran sebagai makhluk yang mempunyai dua identiti pada masa yang sama. Iaitu identiti individu dan identiti sosial yang begitu penting untuk difahami dalam usaha untuk membina kekuatan gerakan dan kegiatan yang dilaksanakan. Dalam dunia moden hari ini tiada individu dapat hidup secara bersendirian. Masing-masing saling berkaitan dan memerlukan antara satu dengan yang lain. Keadaan ini sebenarnya selaras dengan identiti individu yang dijelaskan oleh Islam yang perlu bersifat demikian tidak berada dalam kedudukan ekstrim mementingkan diri sendiri sahaja atau mementingkan kepentingan sosial dalam diri manusia menurut pandangan Islam bersifat asli dan tidak mungkin dapat dipisahkan sebagaimana digambarkan oleh hadis yang menjelaskan hubungan erat antara individu dan masyarakat.
Malahan atas sifat manusia yang mempunyai dua identiti inilah, Allah SWT telah menetapkan kepada setiap individu untuk mempastikan melaksanakan dua kewajipan iaitu ‘fard ‘ain’ dan ‘fard kifayah’. Dilihat dari sudut amalan ekonomi keperluan manusia kepada melaksanakan fard ‘ain dan fard kifayah begitu bermakna untuk melahirkan mereka yang lebih bertanggungjawab dalam segala tindakan yang dilakukan. Keperluan kepada kewajipan sosial (fard kifayah) kepada manusia tidak wajar dibataskan kepada pengertian biasa yang begitu sempit yang biasa disendakan dengan kata-kata “kalau orang lain telah laksanakan kita tidak payah.” Apabila keperluan fard 'ain dan fard kifayah dikaitkan dengan identiti manusia, pengertiannya menjadi lebih luas iaitu ia merupakan kesedaran sosial yang perlu tertanam dalam setiap diri dan perlu diberi pertimbangan sewajarnya oleh setiap individu walaupun dalam usaha memenuhi keperluan dirinya sendiri. Dengan itu dapat mempastikan tindakan individu dalam menghadapi kehidupannya akan lebih bertanggungjawab dan terhindar daripada melampaui batasan sosial yang dilarang.
No comments:
Post a Comment